Geng Pak Su Di Kubang Pasu Kedah Dihadapkan Ke Mahkamah

Seramai 20 ahli kongsi gelap ‘Geng Pak Su’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Kedah sejak dua tahun yang lepas. Kesemua lelaki yang berusia antara 18 hingga 61 tahun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad. Mereka didakwa telah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Pak Su’ dalam daerah Kubang Pasu sejak 1 Januari 2015.

geng pak su

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama. Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara untuk satu tempoh yang tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner iaitu Mior Farid Al-Athrash Wahid berkata tangkapan terbaru itu adalah fasa ketiga dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Kedah bagi melumpuhkan kegiatan penyeludupan di sempadan negara.

Menurutnya lagi, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk melihat sejauh mana pembabitan mereka dalam kegiatan ini. Mereka ditahan selama 28 hari bermula semalam mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012. Beliau juga memberi peringatan kepada sesiapa yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan supaya menghentikan aktiviti tersebut.

Katanya, mereka tidak hanya menumpukan kepada ‘Geng Pak Su’ sahaja sebaliknya kumpulan lain yang terbabit dalam aktiviti ini juga akan diambil tindakan yang sama. Mior Farid menyatakan bahawa pihaknya mendapati sekurang-kurangnya empat lagi kumpulan melakukan aktiviti penyeludupan di sempadan dan polis akan terus menjalankan operasi bagi mematahkan dan melumpuhkan kegiatan mereka.

geng

Peringatan turut diberikan kepada mana-mana agensi yang bersekongkol dengan kumpulan ini akan diambil tindakan keras. Polis juga akan mempertingkatkan kawalan pencegahan di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam susulan pembukaan pintu sempadan selama 20 jam bermula 1 November ini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.