Jom Melawat Muzium Kota Kuala Kedah

Kota Kuala Kedah atau Kota Kuala Bahang terletak di tebing utara muara Sungai Kedah. Kota ini dahulunya dibina sebagai benteng pertahanan negeri Kedah. Sebuah pintu gerbang telah dibina di bahagian tembok timur menghadap ke Alor Melaka yang dikenali dengan nama “Pintu Gerbang Kacapuri”. Pada 31 Ogos 1978 kota ini telah diwartakan oleh Jabatan Muzium Malaysia sebagai “Tapak Tanah Bersejarah”. Kerja-kerja konservasi tembok timur dan selatan termasuk juga membina semula Pintu Gerbang Kacapuri yang runtuh telah dilaksanakan oleh Jabatan Muzium Malaysia pada tahun 1970.

Pintu Gerbang Kacapuri

Muzium Kota Kuala Kedah ini mempamerkan 60 koleksi artifak arkeologi, seramik dan batu bata asal kota tersebut. Antara koleksi menarik yang dipaparkan di dalam muzium tersebut ialah 13 buah peluru meriam dan enam buah meriam buatan Inggeris yang berusia lebih 100 tahun. Selain itu, terdapat juga artifak yang dipanggil ‘Pelita’ yang ditemukan semasa penyelidikan arkeologi dan kerja-kerja konservasi tembok timur berhampiran pintu Gerbang Kacapuri.

Muzium Kota Kuala Kedah

Muzium Kota Kuala Kedah ini terletak lebih kurang 11 kilometer dari bandar Alor Setar. Pengunjung boleh menaiki bas ke Kuala Kedah dari Shahab Perdana atau menaiki teksi dari Alor setar atau dari Terminal Feri Kuala Kedah untuk ke sini. Muzium ini beroperasi pada setiap hari iaitu dari pukul 9.00 pagi sehingga 6.00 petang. Muzium ini hanya akan ditutup pada hari pertama Hari Raya Adilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Tiada sebarang caj dikenakan untuk masuk ke dalam Muzium Kota Kuala Kedah ini.

Muzium Kota Kuala Kedah

Kemudahan asas juga disediakan untuk keperluan orang ramai. Terdapat gerai-gerai yang beroperasi disekitarnya. Pelbagai makanan boleh dinikmati jika anda datang ke Muzium Kota Kuala Kedah. Antara makanan yang terdapat disekitarnya ialah keropok lekor, cucuk-cucuk, ais kacang, dan makanan bergoreng.

Jeti Kuala Kedah

Selain itu, anda juga berpeluang untuk menghirup udara segar dengan keindahan laut yang ada di sekitarnya. Masyarakat tempatan biasanya datang ke sini pada waktu petang untuk bersiar-siar dan mengambil angin laut. Sambil menikmati makanan yang terdapat di sini, anda juga boleh menikmati keindahan yang terdapat di Kota Kuala Kedah. Jika anda sampai ke sini jangan lepaskan peluang untuk melawati tempat-tempat yang menarik di Kuala Kedah. Anda juga boleh terus pergi ke jeti Kuala Kedah jika ingin ke Langkawi.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.