Kerabu Bronok Merupakan Makanan Eksotik Di Pulau Langkawi, Kedah

Pulau Langkawi bukan sahaja terkenal sebagai tempat pelancongan malah pulau ini mempunyai rahsia di sebalik hidupan laut yang terdapat di sekelilingnya. Terdapat sejenis makanan eksotik yang istimewa bagi penduduk Pulau Langkawi iaitu bronok. Apakah bronok? Pasti anda semua tertanya-tanya. Beronok merupakan spesis hidup laut yang seakan-akan gamat atau timun laut serta ia boleh hidup di kawasan pantai yang berselut di Langkawi Kedah.

bronok

Teksturnya adalah sangat licin iaitu seperti memegang sotong dan mempunyai beberapa warna seperti coklat kehitaman (tua) atau merah jambu (muda). Isinya agak kenyal dan rasanya agak masin seperti air laut. Bronok ini sangat unit kerana sifatnya yang alah kepada haba dan membuatkannya cair menjadi air masih apabila dimasak. Mungkin ada yang tidak lalu untuk memakannya sebaik sahaja melihat fizikal sebenar bronok yang seakan-akan lintah gergasi yang menggelikan tetapi bagi masyarakat Pulau Langkawi hidangan ini amat istimewa dan menyelerakan. Bronok juga merupakan hidangan wajib ketika majlis kenduri-kendara di sini.

cover 2222

Bagaimanakah cara untuk memasak bronok? Menurut pembuat kerabu bronok di Langkawi, proses penyediaannya dimulakan dengan memotong bahagian pangkal kepala dan ekor untuk membuang isi perutnya. Kemudian ianya akan dihiris nipis agar senang untuk dimakan. Selepas itu, bronok harus dibersihkan dua hingga tiga kali sebelum ditapis bagi mengelakkan ia berair. Bahan-bahan untuk membuat kerabu ini adalah sama dengan membuat kerabu yang lain dan ianya juga boleh dipelbagaikan mengikut selera serta kretiviti masing-masing.

hiris

Bagaimana pula cara-cara untuk mencari bronok? Menurut seorang nelayan di sini, bronok boleh diperoleh dengan menggunakan dua cara. Pertama mengutipnya sendiri di tepi pantai dengan cara menyelam dan yang kedua adalah dengan menggunakan bot atau sampan di tengah lautan. Katanya cara kedua lebih mudah dan menjimatkan masa. Hasil tangkapan bronok ini akan menjadi sumber pendapatan buat para nelayan dan akan dihantar ke pasar untuk dijual kepada orang ramai. Tambahnya lagi bronok hanya boleh didapati pada musim-musim tertentu sahaja.

kerabu

Menurut penduduk di pulau ini pelancong harus merasai pengalaman memakan bronok ini kerana ianya sangat menyelerakan dan sukar untuk dijumpai di tempat lain. Terdapat seorang pelajar daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terlibat dalam pembikinan dokumentari bronok berkata pengalaman mencari bronok sendiri merupakan satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Walaupun bronok ini menggelikan tetapi rasanya sangat menyelerakan dan enak dan pesannya lagi kepada pengunjung yang datang ke Langkawi agar tidak melepaskan peluang merasai bronok, pasti akan jatuh cinta dengannya.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.