Loghat Masyarakat Siam Di Kedah Berbeza Dengan Thailand

Kubang Pasu merupakan daerah terakhir di Kedah sebelum sampai ke sempadan Thailand iaitu Bukit Kayu Hitam. Tiada jalan lain untuk ke sempadan itu selain melalui daerah Kubang Pasu dan sekali gus menjadikan daerah itu sebagai daerah yang paling sibuk setiap kali musim cuti. Hal ini kerana ramai rakyat Malaysai mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Selatan Thailand sama ada sekadar ke Danok atau terus ke Hatyai untuk membeli belah mahupun berhibur.

lokasi

Untuk pengetahuan pembaca setia orangkedah.com, dalam perjalanan ke Bukit Kayu Hitam anda akan melalui Napoh iaitu satu pekan kecil sebelum Changlun iaitu lebih kurang 15 kilometer dari pintu masuk ke Thailand. Dikatakan kawasan itu merupakan kawasan yang paling ramai didiami oleh masyarakat Siam iaitu antara Napoh menghala ke Padang Sera. Penggunaan bahasa Siam di situ amatlah meluas iaitu antara Napoh sehingga Padang Sera. Jelas sekali bahasa Siam mendominasi perbualan mereka tidak kira sesama orang Siam ataupun dengan orang Melayu.

Siam

Pengaruh Siam masih kuat menguasai kawasan itu walaupun penyerahan Kedah kepada British dari Kerajaan Siam sudah lama berlaku hampir ratusan tahun. Napoh dan Padang Sera berjarak 10km dan pada pertengahan jalan terletak Kampung Kubang Cherok iaitu penempatan masyarakat Siam terbesar di situ. Dikatakan juga tidak ramai masyarakat Siam di Pendang tetapi ada kemungkinan mereka adalah penduduk Siam terawal yang mendirikan perkampungan sejak ratusan tahun lalu.

Difahamkan masyarakat Siam di Kedah dianggap sebagai Bumiputera walaupun tidak menikmati hak Bumiputeraa seperti orang Melayu. Ternyata sukar sekali untuk membezakan mereka dengan orang Melayu apatah lagi kebanyakkan mereka fasih dan tidak pelat berbahasa Melayu. Pakaian mereka serta raut wajah yang seakan-akan sama dengan orang Melayu menyukarkan titik perbezaan antara mereka.

masyarakat

Orang Siam seperti berada di tengah-tengah antara Cina dan Melayu. Mereka boleh tinggal dan makan bersama orang Melayu dan tidak pula ada masalah untuk bercampur dengan orang Cina. Malahan kepercayaan mereka yang dipengaruhi Hindu dan Buddha memudahkan lagi perbualan mereka dengan sesiapa pun. Jika diamati dengan betul pertuturan orang Siam di Kedah ada kelainannya dengan orang Siam di Thailand. Mereka ada loghat mereka tersendiri dan kebanyakannya sama dengan orang Melayu yang berbahasa Siam.

Keunikan masyarakat Siam di Kubang Cherok bukan setakat itu sahaja kerana banyak lagi berkaitan budaya dan cara hidup untuk diceritakan. Kemesraan dan keramahan mereka juga menunjukkan bahawa mereka begitu selesa dengan sesiapa sahaja.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.