Lukisan Mural Tun Dr Mahathir Di Alor Setar Kedah Tumpuan Para Pelancong

Lukisan mural yang dahulunya dianggap sebagai vandalisme telah menjadi daya tarikan penggiat seni apabila lukisan tersebut dapat menarik minat masyarakat. Dahulu hobi sekarang seni dan merupakan punca rezeki bagi pelukis mural apabila lukisan ini dilihat sebagai aset pelancongan negara. Untuk pengetahuan pembaca setia orangkedah.com, kerajaan Kedah telahpun memperluaskan mural atau lukisan dinding di bangunan-bangunan lama sempena Tahun Melawat Kedah 2016 tahun lalu.

lukisan

Bagaimanapun, lukisan mural tersebut haruslah melambangkan ciri-ciri tempatan dalam memperkenalkan negeri jelapang padi kepada pelancong tempatan atau luar. Walaupun lukisan mural agak baru di negara kita namun ianya mampu memberi daya tarikan yang tersendiri kepada semua golongan termasuk kanak-kanak dan para remaja yang suka bergambar. Setakat ini kerejaan negeri telah mengenal pasti satu lokasi bangunan lama yang mempunyai nilai tinggi iaitu Pekan Cina dan Pekan Melayu. Kawasan ini dianggap paling sesuai kerana berdekatan dengan bandar dan terdapat juga tempat pelancongan yang lain di situ seperti Masjid Zahir.

mural

Perjalanan di sepanjang Pekan Cina serta Pekan Melayu hanyalah dibahagikan kepada satu jalan utama di Bandaraya Alor Setar. Kini apabila anda melalui bangunan lama ini anda akan dapat melihat lukisan mural bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Bangunan lama tersebut bertambah seri apabila lukisan mural Tun Dr Mahathir yang merupakan anak jati Kedah dengan berbaju Melayu dan bersongkok hitam sambil tersenyum. Lukisan ini dikatakan telah menghidupkan kembali lorong di pekan tersebut.

mural 1

Selain itu, terdapat juga lukisan Menara Berkembar Petronas dan kereta pertama keluaran Malaysia iaitu Proton Saga, yang kedua-duanya menjadi antara ikon kepada Bapa Pemodenan Malaysia itu. Pengurus Projek tersebut iaitu Mustakim Ismail dari Medium Touch berkata beliau dan dua lagi pelukis iaitu Abdul Qoyyum Mohd Nadzri dan Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi telah membuat lakaran tersebut pada 1 Jun 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 6 Jun 2016.

Katanya lagi pemilihan Dr Mahathir dalam lukisan mural tersebut adalah hasil perbincangan dengan pihaknya dengan kerajaan Negeri Kedah. Proses penghasilan lukisan mural berkenaan adalah dengan menggunakan gambar sebenar yang dirakan jurugambar MalaysiaKini iaitu Lim Huey Teng dan mereka memulakan kerja dengan melakukan lakaran asa dinding.

mural 2

Lukisan mural ini dikatakan mampu bertahan lama iaitu sekurang-kurangnya 10 tahun tanpa perlu dicat semula memandangkan ia menggunakan cat yang tidak mudah luntur dan tahan kepada pelbagai keadaan cuaca. Menurut Mustakim lagi, tugas untuk menyiapkan lukisan mural tersebut bukanlah mudah kerana mereka perlu berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti panas yang melampau dan hujan beserta dengan kilat. Namun akhirnya lukisan itu berjaya juga disiapkan pada waktu yang telah ditetapkan.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.