Memori Kampung Banggol Derdap Di Daerah Sik Kedah

Novel Ranjau Sepanjang Jalan Karya Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad menjadikan Kampung Banggol Derdap di Sik sebagai latar novel itu. Namun, lain pula apa yang dibayangkan apabila kawasan atau suasana kampung yang ditemui berbeza daripada apa yang dipaparkan di dalam novel. Kawasan tersebut tiada lagi bendang yang terbentang, yang ada hanyalah sebuah lorong kecil.

signboard

Sepanjang lorong yang tidak seluas mana inilah berdirinya Kampung Banggol Derdap yang kini dihuni lebih daripada 20 keluarga. Hampir separuh abad lalu, kemiskinan hidup penduduk kampung ini mencetuskan ilham kepada Shahnon dan pada tahun 1966 lahirlah novel Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) iaitu setebal 176 muka surat. Garapan yang memaparkan tragedi Lahuma dan Jeha ini diadaptasi menjadi sebuah filem pada tahun 1982 dan menyebabkan nama Banggol Derdap melonjak popular pada ketika itu.

novel

kini

Karya agung yang sudah menjangkau usia 49 tahun ini dijadikan teks sastra tingkatan enam di hujung 60-an dan turut dialih bahasa pelbagai negara, antaranya Perancis, Rusia dan Jepun. Pada tahun 1994 novel ini sekali difilemkan dam ianya menjalani penggambaran di Kemboja sekitar Kampung Kamreang, dalam daerah Kandal berdekatan Phnom Penh. Novel RSJ itu diterbitkan semula oleh Alaf21 pada 2006.

gambar

Suasana nyaman kampung masih dirasai, sebahagian kawasan kekal dilitupi kehijauan cuma keheningan pada zaman kegemilangannya tiada lagi. Hiruk pikuk enjin kenderaan memecah kesunyian terutamanya pada sebelah petang. Lorong yang menjadi laluan utama dipenuhi rumah generasi baharu penduduk kampung manakala generasi terdahulu yang sebahagian besar terlibat dalam penggambaran filem RSJ kini sudah tiada. Amat menyedihkan, kampung yang mempunyai sejarah tersendiri dalam dunia penulisan dan perfileman negara, tidak lagi diagung-agungkan seperti era 60-an hingga 80-an lalu, sehinggakan papan tanda Kampung Banggol Derdap tidak kelihatan, menyebabkan namanya terus sepi seiring peredaran zaman.

ranjau

Kampung ini bersebelahan dengan Banggol Kiat. Sebelum tiba ke Kampung Banggol Derdap, terdapat nama jalan Persiaran Derdap sebagai panduan iaitu berdekatan Pekan Sik. Novel yang dihasilkan telah menaikkan semangat anak kampung tersebut. Jalinan ceritanya yang baik serta banyak memberi teladan kepada masyarakat tani di luar bandar menyebabkan novel itu masih lagi segar sehingga kini. Karya itu memaparkan kehidupan sebenar petani yang terpaksa berdepan pelbagai musuh tanaman sehinga berlarutan kepada masalah keluarga.

kampung 6

Tekanan hidup petani di Kampung Banggol Derdap menyebabkan banyak peristiwa tersirat turut diselitkan dalam novel itu hinggalah pada 1982, novel itu difilemkan oleh Kay Film Production. Sejurus itu, nama Shahnon mulai menjadi masyhur dan sekali gus kampung itu terkena tempiasnya sehingga daerah Sik di Kedah mulai terkenal. Mengingat kembali sewaktu penggambaran dijalankan, setiap hari kampung itu akan dikunjungi oleh ramai orang.

Selain mahu lihat penggambaran dilakukan, ramai kalangan mereka turut berminat untuk melihat artis kesayangan dari dekat hingga ada sanggup menunggu berjam-jam untuk bergambar dengan artis tersebu. Ketika itu kampung ini tidak sunyi, siang dan malam sentiasa dipenuhi dengan orang ramai terutama penduduk tempatan.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.