Mengungkap Rahsia Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan satu nama yang amat masyhur baik di dalam negara mahupun di luar negara. Beliau mempunyai banyak kepentingan dalam bidang perniagaan seperti pengangkutan dan logistik, perladangan, pembangunan hartanah, pertahanan, gudang senjata dan kejuruteraan. Beliau merupakan seorang tokoh simbolik yang memegang falsafah bahawa ‘Pendidikan tidak menjamin kejayaan dalam hidup tetapi kerja keras’.

cover8

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari dilahirkan dalam kelas pertengahan rendah di utara Semenanjung Malaysia dan keluarganya berasal dari Yemen. Setelah mengembara ke serata negara akhirnya bapanya telah membuat keputusan untuk menetap di Alor Setar Kedah. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari mempunyai tujuh adik beradik dan dia merupakan anak yang ketiga. Dahulu beliau hidup dalam keadaan serba kekurangan sehinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Beliau hanya sempat menyambung persekolahannya sehingga tingkatan lima sahaja. Namun keadaan itu tidak bermakna beliau tidak mempunyai pengetahuan kerana banyak pengetahuan dan pengalaman beliau telah diperoleh melalui pengalaman keusahawanan sendiri semasa mudanya.

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari membantu ibunya menanam dan menjual sayur-sayuran di pasaran dan juga menjual roti canai. Pengetahuan angka beliau digunakan untuk membantu bapanya dalam melakukan perniagaan lembu. Namun perniagaan itu tidak mampu bertahan lama kerana lembunya diserang penyakit kaki dan mulut. Walau bagaimanapun beliau meneruskan juga perniagaan tersebut dengan mula menjual semula daging. Beliau pergi dari pekan ke pekan untuk membeli daging, kemudian beliau membungkus daging tersebut bersama ais dan menjualnya kepada peniaga Bumiputera serta restoran-restoran yang terdapat di sekitar Alor Setar. Perniagaan tersebut berjaya dan keadaan ini menambahkan keyakinan terhadap dirinya.

beras

Selepas perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Beliau menggunakan lori-lori yang dibelinya bagi memulakan perniagaan beras. Pada tahun 1975 beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara dan berjaya mendapatkan kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd. Setelah berjaya, beliau menubuhkan pula syarikat dengan usaha sama dengan dua orang peniaga Cina iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Daripada beras beliau mengembangkan perniagaannya kepada perniagaan gula pula. Sehingga ke hari ini pendapatan tahunan beliau mencecah RM250 juta.

Selepas itu beliau mengembangkan lagi perniagaannya ke dalam bidang pembuatan. Beliau mendapat kontrak membuat pakaian seragan tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Beliau kemudiannya telah membuat keputusan untuk menubuhkan dua buah syarikat iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an apabila beliau merupakan orang yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh masa yang singkat.

masjid

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Walaupun menjadi hartawan yang disegani tetapi beliau tidak pernah melupakan nikmat Allah S.W.T..Beliau sentiasa memberikan nasihat dan Yayasan Al-Bukhary sendiri telah membelanjakan kira-kira RM300 juta untk aktiviti keagaamaan, kebudayaan dan pendidikan serta banyak lagi sumbangannya kepada agama Islam.

pingat

Oleh itu, bagi menghargai sumbangan dan jasa beliau beberapa anugerah telah diberikan kepada beliau antaranya Pangliman Setia Mahkota (P.S.M) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri dan Dato’ Setia Mahkota Kedah (D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato’. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti kegagalan dan beliau sentiasa belajar dari apa juga kesilapan yang dilakukannya.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangkedah.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.