Penangan Nasi Lemak Mak Lang Di Alor Setar Kedah

Nasi lemak merupakan salah satu menu utama di Malaysia. Menu ini menjadi pilihan masyarakat Melayu ketika bersarapan. Tiada siap menyangka bahawa langkah seorang ibu tunggal yang meninggalkan kerja makan gaji kira-kira 13 tahun yang lalu membuahkan hasil yang berlipat kali ganda apabila Nasi Lemak Mak Lang yang diusahakannya merupakan antara yang paling popular di Alor Setar Kedah pada masa ini.

proses

Salmiah Mahmod yang berusia 60 tahun atau lebih dikenali sebagai Mak Lang bekerja sebagai guru jahitan sebelum terlibat dengan kemalangan dan kejadian tersebut telah mencederakan tulang belakangnya dan sekali gus mengakibatkan dia terpaksa melupakan kerjayanya. Oleh itu, demi meneruskan hidup Salmiah membuat keputusan untuk berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan hidupnya.

Setelah lebih hampir sedekad berhempas pulas mengusahakan perniagaannya, kini dia mampu tersenyum apabila nasi lemak daun pisangnya kini cukup popular sehingga terjual kira-kira lebih 2000 bungkus setiap hari. Menurutnya, setiap hari dia memerlukan sekurang-kurangnya 100 kilogram beras dan 10 kilogram ikan bilis untuk menyediakan nasi lemak jualannya. Katanya setiap hari mereka memulakan operasi seawal 4,30 pagi untuk menyiapkan tempahan dan sekitar jam 6.30 pagi kira-kira 400 hingga 500 bungkus perlu dihantar ke gerai-gerai serta setsyen minyak sekitar bandar.

cop

Senang sahaja untuk mengenali Nasi Lemak Mak Lang ini kerana mempunyai cop biru lambang jenamanya sendiri dan di tambah pula dengan rasa enak serta harga yang murah. Nasi Lemak ini begitu popular sehinggakan ada peniaga dari luar Alor Setar sanggup datang setiap hari sejak 11 tahun yang lalu hanya untuk mendapatkan nasi lemak tersebut dan disajikan kepada pelanggan tetap gerai miliknya. Penyediaan nasi lemak tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai dan oleh itu Salmiah telah menggaji seramai 10 pekerja yang terdiri daripada rakan-rakan serta jirannya sendiri.

Setiap pekerja yang digaji mempunyai peranan masing-masing seperti tukang masak, pemotong daun pisang, jurugegas hingga tukang masak. Menurut salah seorang pekerja, Salmiah menggaji pekerja yang kebanyakkannya daripada golongan asnaf dan hal ini merupakan satu jalan keluar bagi dirinya dan rakan-rakan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih senang. Salmiah seorang yang sangat peka dan prihatin terhadap semua pekerjanya dan akan memastikan gaji dibayar setiap minggu atau bulan mengikut permintaan pekerjanya.

sambal

Bahkan setiap tahun Salmiah akan membawa semua pekerjanya untuk bercuti sebagai ganjaran penat lelah sepanjang setahun selain diberikan bonus untuk meningkatkan motivasi para pekerjanya. Nasi Lemak Mak lang ini akan dimasak dua kali setiap hari iaitu pada awal pagi bagi memenuhi permintaan sebelah pagi manakala pada tengah hari pula adalah untuk permintaan sebelah petang.

Menu yang disedikan juga pelbagai seperti lauk bilis bersama telur, ikan, ayam dan udang. Setiap tempahan dalam Alor Setar akan dihantar oleh jurugegas manakala tempahan luar kawasan akan diambil sendiri oleh peniaga. Menurut pelanggan tetap Nasi Lemak Mak Lang mempunyai rasa sedap dan enak yang lain daripada yang lain. Selain itu nasi lemak ini juga tahan lama berbanding jenama lain. Kebiasaannya Nasi Lemak Mak Lang tahan sehingga lewat malam dan jika tidak diusik ia masih boleh dimakan sehingga keesokan hari.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.