Sejarah Kewujudan Bukit Kayu Hitam Di Kedah

Bukit Kayu Hitam merupakan sebuah bandar yang bersempadan antara Malaysia dan Thailand dan terletak di penghujung Lebuhraya Utara-Selatan iaitu menghubungkan Lebuhraya Bukit Kayu Hitam dengan Lebuhraya Phetkasem di Thailand. Lebuhraya ini dibina untuk memudahkan pergerakan dari utara ke selatan tanah air. Lebuhraya Utara-Selatan juga merupakan Lebuhraya yang terpanjang di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada bandar-bandar utama di bahagian barat.

signboard

Sejarah wujud di mana-mana sahaja. Setiap tempat yang kita lawati atau duduki mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Cuma yang membezakan sejarah sesuatu tempat adalah bagaimana peristiwa yang membawa kepada penubuhan tempat tersebut berlaku. Kali ini, marilah kita meneroka sejarah ataupun asal usul bandar Bukit Kayu Hitam di Kedah. Nama Bukit Kayu Hitam sudah cukup untuk membuatkan orang ramai tertarik untuk mengetahui dari mana datangnya nama tersebut. Mungkin ada yang sudah mengetahui dan tidak kurang juga yang masih mencari-cari tentang kewujudan nama tempat ini.

sempadan thailand

Menurut sumber Bukit Kayu Hitam dinamakan oleh tentera Siam yang berehat di salah satu tempat di Kedah sementara memasang strategi untuk menyerang Kedah. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1824 iaitu semasa berlakunya peperangan untuk menakluki sesebuah negara demi kepentingan negara masing-masing. Setelah penat dalam perjalanan untuk mencapai misi tentera Siam iaitu menyerang Kedah mereka telah singgah di sebuah bukit dan berkampung di situ. Semasa sedang memasak nasi mereka menggunakan sebatang kayu yang dijadikan senduk untuk menggaul nasi tersebut. Setelah nasi itu masak, tentera siam terkejut dan menjadi hairan apabila nasi yang dimasak tadi telah bertukar menjadi hitam.

Tentera Siam ingin mengetahui punca berlakunya keadaan tersebut lalu mereka menyiasatnya. Setelah meneliti dengan pasti mereka mendapati bahawa kehitaman itu berpunca daripada kayu yang digunakan sebagai senduk . Kayu yang diambil adalah berasal daripada sebatang pokok yang di sekitarnya bewarna kehitaman. Pokok tersebut adalah pokok Komoi yang wujud di sekitar bukit tersebut. Maka sejak dari itu wujudlah nama Bukit Kayu Hitam dan dalam bahasa Siamnya adalah Kuan Mhai Dam. Namun setelah tentera Siam kalah dalam pertempuran, Bukit Kayu Hitam didiami oleh penduduk tempatan dengan melakukan banyak kegiatan ekonomi disebabkan oleh kawasannya yang strategik dan menjadi laluan ke Siam.

sejarah bukit

Pada tahun 1948 Bukit Kayu Hitam terpaksa ditutup sepenuhnya berikutan keadaan Darurat. Semua penduduk di sekitar Bukit Kayu Hitam tidak dibenarkan untuk menetap di situ dan mereka terpaksa berpindah ke Changloon. Oleh itu, tempat tersebut mula dipenuhi dengan semak samun kerana sudah tidak mempunyai penghuni. Namun,sekitar tahun 1972, kawasan ini dibuka semula oleh sesebuah perbadanan iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah untuk mengusahakan Ladang Laka Temin. Setelah kawasan ini dibuka semula nama bagi Bukit Kayu Hitam ditukar kepada nama Laka Temin. Penduduk semakin bertambah dari hari ke hari dan menyebabkan kawasan ini semakin maju. Sekali lagi nama kawasan ini ditukar kepada nama Bukit Kayu Hitam pada sekitar tahun 1981 dengan persetujuan pihak Peranca dan nama tersebut kekal sehingga hari ini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.