Sumpahan Gua Kerbau Jitra Kedah

Sumpahan merupakan salah satu kuasa sakti yang dipercayai wujud suatu ketika dahulu. Pelbagai cerita yang kita dengari mengenai sumpahan berlaku di Tanah Melayu, salah satu daripadanya ialah Gua Kerbau. Gua Kerbau terletak di Bukit Keplu Kampung Kodiang Lama iaitu kira-kira 50 meter dari bandaraya Alor Star. Gua ini juga dikenali dengan nama Gua Batu Putih dan dipercayai telah wujud sekitar 200 hingga 300 juta tahun dahulu.

gua kerbau

Terdapat dua versi cerita mengenai kewujudan Gua Kerbau iaitu ada sesetengah penduduk mempercayai bahawa Gua ini terbentuk hasil daripada sumpahan daripada Sang Kelembai. Atas faktor apa ianya disumpah tidak dapat dipastikan lagi. Ada juga sesetengah penduduk mengatakan bahawa asal usul nama Gua Kerbau diambil sempena satu peristiwa acara laga kerbau di sebuah padang di Kampung Kodiang Lama. Salah seekor kerbau telah kalah dan melarikan diri ke dalam gua tersebut. Selepas itu, timbul cerita mengenai kewujudan batu besar yang dipercayai menyerupai bentuk seekor kerbau yang sedang tidur. Sejak daripada itu, penduduk menggelar gua ini sebagai Gua Kerbau.

gua

Berdasarkan beberapa penyelidikan yang dilakukan gua tersebut dipercayai pernah didiami oleh masyarakat purba. Kenyataan ini disokong oleh bukti-bukti yang dijumpai oleh ahli-ahli arkeologi. Mereka menjumpai beberapa jenis artifak yang diperbuat daripada batu dan diyakini bahawa dimiliki oleh penduduk pra-sejarah zaman neolitik. Selain itu, penemuan tembikar berkaki tiga yang mempunyai persamaan dengan penemuan di Bukit Tenku Lembu Perlis dan Bankau di Thailand turut menguatkan lagi teori-teori yang dilakukan.

gua batu putih

Selepas Zaman Neolitik, gua ini juga turut dijadikan sebagai markas utama ketenteraan iaitu sekitar tahun 1804 hingga 1843. Pada masa ini negeri Kedah berada di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin dan pada waktu itu telah berlaku satu peristiwa peperangan yang begitu hebat antara tentera Kedah dan tentera Siam. Maka gua inilah yang dijadikan sebagai tempat untuk melatih tentera Kedah untuk bangun menentang dan mempertahankan kedaulatan negeri Kedah. Tambahan pula tempat ini begitu strategik dan sesuai dijadikan sebagai tempat persembunyian tentera Kedah. Dikatakan juga gua ini mampu memuatkan seramai 70 hingga 100 orang untuk menjalani latihan ketenteraan dalam satu-satu masa.

gelap

Gua Kerbau merupakan salah satu peninggalan sejarah yang amat berharga dan wajib untuk kita peliharanya. Kedah telah menjadikan tempat ini sebagai tarikan pelancong dan ramai yang datang untuk melihat tinggalan-tinggalan sejarah yang terdapat di Gua ini. Apabila anda memasuki Gua Kerbau anda akan disajikan dengan pengalaman yang baru kerana struktur jalan di dalam gua ini agak mencabar. Hal ini kerana pengunjung perlu mendaki beberapa anak tangga dan sebaik sahaja anda masuk ke dalam gua kegelapan dan kedinginan akan mula menyelubungi diri anda. Namun, semuanya akan terlerai apabila melihat sendiri keindahan permandangan yang terdapat di Gua Kerbau.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.