Lubuk Bunian di Gunung Jerai Kedah

Gunung Jerai merupakan sebuah tempat yang penuh dengan misteri dan mitosnya. Sebut sahaja mengenai gunung ini, penduduk yang berada berhampiran dengannya akan membuka cerita mengenai kejadian-kejadian aneh yang berlaku. Sambil bercerita penduduk di sini akan menyelitkan pelbagai nasihat apabila pengunjung hendak mendaki Gunung Jerai. Pengunjung dinasihatkan supaya tidak bercakap besar dan haruslah mempunyai niat yang baik ketika hendak mendaki Gunung Jerai. Jika mereka melanggar pantang larang ini mereka akan ditimpa musibah dan besar kemungkinan akan sesat dan tidak akan jumpa jalan pulang, untuk makluman pembaca orangkedah.com.

gunung jerai

Mitos Gunung Jerai ini dikaitkan dengan kedatangan Raja Bersiong yang merupakan orang pertama yang membuka kawasan penempatan di kaki gunung ini.Raja Bersiong amat terkenal dengan tabiatnya yang suka meminum darah manusia.Di Puncak Gunung Jerai terdapat sebuah batu besar yang berbentuk sebuah kapal dipercayai telah disumpah oleh Sang Kelembai. Sang Kelembai ialah gergasi yang mempunyai sakti. Kapal tersebut dikatakan telah dinaiki oleh Maharaja Merong Mahawangsa yang ketika itu ingin berlabuh di Pulau Jerai iaitu nama asal bagi Gunung Jerai. Terdapat juga Perigi Tok Sheikh iaitu seorang agamawan yang dianggap sebagai manusia yang mulia dan warak. Air daripada perigi tersebut dapat menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit dengan cara meminum atau mandi dengan menggunakan airnya.

batu besar

Gunung Jerai digelar oleh penduduk sebagai lubuk bunian. Gunung ini dikatakan penempatan bunian yang terbesar dan diperintah oleh raja bunian. Oleh sebab itu penduduk di sekitar Gunung Jerai percaya bahawa gunung ini dijaga oleh orang bunian. Pekerja di puncak ini pernah menceritakan pengalaman beliau diperlihatkan sebuah kawasan penempatan bunian dan istana bunian di pinggir air terjun berdekatan dengan Telaga Tok Sheikh.Beliau juga pernah melihat seorang gadis cantik iaitu jelmaan daripada bunian ketika menjalankan tugas.Bunian dikatakan akan menjelmakan diri mereka kepada sesiapa sahaja yang disukainya.

Cerita mengenai bunian di Gunung Jerai juga pernah menggemparkan negara dengan kehilangan seorang pemuda yang berusia awal 20-an pada tahun 2000. Pemuda itu dikatakan mengikut seorang gadis cantik yang berada di gunung tersebut. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari dan menyelamat pemuda tersebut, namun gagal ditemui.Setelah seminggu misteri kehilangannya heboh diperkatakan, akhirnya beliau telah dijumpai di sekitar kawasan air terjun.Namun,apa yang amat memilukan hati apabila beliau dijumpai telah meninggal dunia dengan keadaan tubuh badannya yang amat mengerikan. Mayat tersebut dijumpai tidak mempunyai kepala, kepala dan badan pemuda tersebut diceraikan. Suasana sedih menyelubungi kawasan itu apabila ahli-ahli keluarganya tiba untuk melihat dan membawa balik mangsa.

air terjun

Dikatakan tempat yang mereka jumpai mayat tersebut merupakan penempatan orang bunian iaitu di sekitar air terjun. Ramai penduduk di situ sudah tidak berani untuk mendaki Gunung Jerai dan mereka mengaitkan kematian pemuda tersebut dengan niatnya yang tidak baik atau selalu bercakap besar. Namun, apabila pelbagai spekulasi yang dibuat terhadap gunung ini dihebohkan, ramai pula yang datang dari hari ke hari. Rata-rata pengunjung yang berkunjung di sini amat tertarik dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di gunung ini. Ada diantaranya yang ingin merasai sendiri pengalaman berada di Puncak Gunung Jerai dan berhadapan sendiri dengan orang bunian yang heboh diperkatakan oleh penduduk di sini.Niat mereka itu segera dinasihatkan oleh penduduk kampung supaya tidak terlalu taksub dengan cerita yang diperkatakan, takut nanti memakan diri sendiri.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangkedah.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.