Penculikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Dalam Peristiwa Sedim Di Kulim Kedah

Pada Disember 1941 berlakunya peristiwa bersejarah di Malaya apabila terjadinya penculikan terhadap Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Penculikan ini dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman yang ketika itu menjadi Pegawai Daerah di Kulim setelah beliau mendapat berita daripada Dato Sri Syed Omar Shahabudin bahawa British hendak memindahkan Sultan ke Pulau Pinang pada waktu subuh. Pemindahan ini dilakukan oleh British semasa Jepun menyerang Kedah dengan menjatuhkan bom di Sungai Petani,pada hari Isnin 8hb Disember. Namun, Tunku tidak bersetuju dengan cadangan British kerana bagi beliau Sultan harus berada bersama-sama rakyatnya pada ketika itu. Beliau merancang untuk menghalang hasrat British tersebut.

tunku abdul rahman

Rancangan penculikan ke atas Sultan berlaku sewaktu British dalam perjalanan membawa Sultan ke Pulau Pinang. Tunku telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku terhadap rancangannya. Tunku telah melengkapkan diri dengan senjata dan beliau bersama-sama dengan rakannya iaitu Syed Abu Bakar Al-Idrus untuk melakukan penculikan tersebut. Mereka menunggu baginda di Simpang Kepala Batas dan apabila kereta Rolls Royce yang membawa baginda muncul, Tunku Abdul Rahman menahannya serta melompat masuk lantas memaksa pemandu kereta tersebut untuk menghala ke arah Kulim. Strategi Tunku tidak disedari oleh pihak British, hanya apabila tiba di Pulau Pinang barulah mereka menyedari tentang kehilangan baginda Sultan, untuk makluman pembaca setia kedah.com.

Rancangan Tunku diteruskan dengan membawa Sultan ke kediamannya di Kulim. Berita mengenai kemaraan Jepun yang kian hampir di Kedah menyebabkan Tunku meminta baginda Sultan ke tempat perlindungan yang berada di garis kemaraan Jepun iaitu di Estet Bukit Sedim. Penduduk di Kampung Sedim sudah bersedia menerima Sultan ke kampung mereka. Bagi menjunjung kasih kepada Sultan penduduk Sedim berpakat untuk membuat usungan daripada dua batang buluh dan mereka telah mengusung baginda ke rumah penghulu iaitu Haji Yassin. Pelbagai pengorbanan penduduk Kampung Sedim dilakukan terhadap baginda untuk memastikan baginda selamat.

kampung lindungan

Siang dan malam penduduk Kampung Sedim berkawal di tempat kediaman Sultan bagi memastikan kesejahteraan Sultan terjamin. Selama 6 hari dibawah jagaan penduduk Kampung Sedim, akhirnya Jepun menghantar rombongan untuk mengiringi Sultan kembali ke Alor Star. Sesampai sahaja di Alor Star, baginda Sultan tidak dibenarkan untuk bersemayam di Istana Kampung Baharu kerana dikatakan Jepun mahu merampasnya. Tanpa sebarang bantahan Sultan hanya menurutinya dan Pemangku Raja telah membawa Sultan untuk tinggal di Istana Anak Bukit dan setelah hampir 62 tahun memerintah akhirnya baginda mangkat di Istana Anak Bukit pada tahun 1943.

rumah lindungan

tempat bersemayam

Kini Kampung Sedim diabadikan sebagai kampung yang berbakti kepada Sultan. Rumah yang menjadi tempat perlindungan Sultan iaitu di rumah Tn.Haji Mohd Yassin ini diisytiharkan sebagai Rumah Lindungan Raja dan kampung Sedim juga mendapat pengiktirafan sebagai Kampung Lindungan Raja sejak 12 Januari 1962. Pengubahsuaian pertama terhadap rumah ini dilakukan pada tahun 1985-1986. Rumah ini terbuka untuk kunjungan orang ramai dan di dalam rumah ini terdapat banyak info-info dan gambar-gambar berkaitan peristiwa Sedim 1941. Jika anda mahukan maklumat yang lebih terperinci, anda bolehlah datang ke kampung Sedim ini. Ayuhlah beramai-ramai meneroka pelbagai sejarah yang terdapat di negara kita.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangkedah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.