Penemuan Seramik China Di Kampung Sungai Mas, Kota Kuala Muda Kedah

Kegemilangan Sungai Mas sebagai sebuah tapak penting pada zaman proto sejarah terbukti apabila sebuah projek pembinaan tali air di Kampung Sungai Mas, Kota Kuala Muda menemukan pelbagai jenis artifak seperti pecahan seramik perdagangan asing, bahan binaan candi, pelbagai jenis manik, tembikar tanah, arca agama dan serpihan kaca yang dipercayai datangnya dari Timur Tengah. Inskripsi Mas I yang telah diberi pentakrifan relatif abad ke 6 atau ke 7 Masihi juga telah ditemui secara tidak sengaja oleh penduduk kampung.

stoneware

Kajian yang dilakukan oleh Jane Allen dari Amerika Syarikat dengan Jabatan Geografi, Universiti Malaya yang berkaitan dengan ‘Trade Transportation and tributaries: Exchange, Agriculture And Settlement Distribution In History-Period Kedah, Malaysia’ telah melaporkan sebanyak 12 buah tapak bersama jumpaan artifak yang terdiri daripada bahan binaan, seramik asing, tembikar tanah, kaca, manik dan batu bersurat di kawasan Kampung Sungai Mas. Kajian disambung pula oleh kumpulan arkeologi UKM dan Jabatan Muzium Malaysia yang mendapati Sungai Mas merupakan tapak tanah bersejarah dan merupakan sebuah bandar pelabuhan Kedah purba terawal di Lembah Bujang.

Kenyataan yang dikeluarkan itu dibuktikan dengan penemuan pelbagai jenis artifak pecahan seramik yang merupakan data yang bernilai tinggi. Bukti yang penting sekali terhadap kewujudan Sungai Mas sebagai pelabuhan purba ialah penemuan Seramik China dari zaman Dinasti Tang dan Dinasti Sung. Jenis seramik China yang dijumpai di Sungai Mas ialah stoneware, celadon, Qing Pai dan porselin. Seramik yang dijumpai di Sungai Mas ini berwarna biru atau hijau dengan pecahan kaca pelbagai warna mempunyai banyak persamaan di seluruh Asia Tenggara pada zaman tersebut. Keadaan ini mengukuhkan kenyataan yang mengatakan bahawa Sungai Mas merupakan sebuah pelabuhan entrepot yang terpenting di Asia Tenggara.

Kini, kewujudan Sungai Mas dalam era ketamadunan Lembah Bujang sebagai sebuah pelabuhan entrepot suatu ketika dahulu menjadi isu yang sedang hangat diperkatakan oleh ahli arkeologi dan sarjana di Malaysia. Hal ini kerana Lembah Bujang sudah merangkumi 160 tahun dan para penyelidik menganggap tamadun Lembah Bujang hanya berlaku di sekitar Pengkalan Bujang dan Merbok. Namun, apabila projek pembinaan tali air pada tahun 1980 telah menemukan inskripsi dan beribu-ribu artifak akibat daripada projek tersebut maka barulah kajian menyeluruh di Sungai Mas dibuat. Setelah kajian dibuat maka terbuktilah bahawa Sungai Mas adalah lokasi di mana bermulanya tamadun Lembah Bujang.

sungai mas

Tembikar China merupakan tembikar yang bermutu tinggi dan amat diminati oleh hampir seluruh masyarakat di dunia. Kewujudan tembikar China di Lembah Bujang kebanyakkannya ditemui dalam bentuk taburan dan dalam keadaan serpihan. Oleh itu, berdasarkan analisis yang dibuat terhadap jumpaan-jumpaan telah jelas terbukti bahawa perdagangan maritim di kawasan itu telah wujud sejak abad ke 5 Masihi lagi.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangkedah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.