Peristiwa Gubir Di Kedah Pada 26 April 1976

Gubir merupakan salah satu daerah yang terdapat di negeri Kedah. Kawasan ini merupakan salah satu kawasan yang menjadi markas pengganas komunis di utara Semenanjung Malaysia semasa berlakunya Darurat. Tempat ini merupakan saksi berlakunya peristiwa yang menyayat hati dan menjadi satu lagi peristiwa hitam buat negara terutamanya bagi anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), untuk pengetahuan pembaca setia orangkedah.com.

kem gubir

Selama ini kita hanya mengetahui tentang serangan komunis yang berlaku di Balai Polis Bukit Kepong sahaja iaitu yang berlaku pada waktu subuh tanggal 23 Februari 1950. Seramai 25 orang anggota polis dan orang awam telah terkorban dalam peristiwa hitam itu. Namun, untuk pengetahuan pembaca setia orangkedah.com terdapat satu lagi peristiwa hitam yang berlaku di negara kita iaitu ‘Peristiwa Gubir’ yang berlaku pada 26 April 1976. Pada tarikh tersebut satu operasi telah dilancarkan oleh pasukan keselamatan yang dinamakan sebagai ‘Operasi Kota’ dan dalam operasi tersebut sebuah helikopter Nuri telah ditembak jatuh di Hutan Simpan Ulu Muda.

Operasi Gubir dilakukan adalah susulan daripada pertempuran dan serang hendap yang dilancarkan oleh pengganas komunis. Angkatan Tentera Malaysia mengambil keputusan untuk melancarkan serang balas terhadap musuh di sebuah kawasan yang disyaki tempat kubu kuat mereka. Anggota pengganas dianggarkan seramai 400 anggota beserta dengan 3,600 jerangkap samar yang telah dipasang disekitarnya. Namun, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya menghatar 60 anggota sahaja. Keadaan ini amat membimbangkan dan merupakan suatu pengalaman yang sukar dilupakan.

ops

Menurut cerita yang diterima daripada utusan online pada 2 April 1998 iaitu daripada salah seorang anggota ATM iaitu Kapten Sudirman Ahmad yang bertugas dalam Rejimen Gerak Khas (RGK) atau Komando sekitar tahun 1970-an, pengalaman bertempur dengan komunis di sebuah perkampungan kecil masih segar dalam ingatannya. Ketika itu Sudirman berusia 23 tahun dan dia mengetuai skuadron bersama-sama 60 anggota komando. Detik-detik cemas bersama anggota-anggotanya yang terpaksa bertarung dengan maut untuk menghapuskan musuh negara tidak dapat dilupakan dengan mudah.

Taktik yang digunakan untuk menyerang kemaraan pihak komunis adalah dengan menggunakan helikopter pada waktu malam kerana perkampungan tersebut dipercayai dikawal ketat oleh pihak pengganas dan telah dipasang dengan 3,600 jerangkap samar. Segala-galanya berjalan lancar sehinggalah kedatangan mereka disedari oleh pihak pengganas dan bermulalah pertempuran di antara kedua-dua pihak. Pertempuran yang berlaku hampir setengah jam itu telah mengorbankan 11 anggota negara. Namun, mereka tetap meneruskannya dan masih bertahan.

terkorban

Pada hari berikutnya, sebuah helikopter bersama-sama 11 anggota tentera negara termasuk dua orang anggota komando telah menyerang pengganas komunis dari udara tetapi malangnya apabila kesemua mereka telah terkorban kerana helikopter tersebut telah meletup akibat serangan balas dari pengganas. Selepas peristiwa itu pasukan negara diarahkan untuk berundur setelah kawasan pertempuran dimusnahkan dengan tembakan meriam daripada pasukan bantuan dari luar kem.

Pengunduran mereka terhenti di sebuah bukit dan mereka berlindung di atas kawasan tersebut sementara menunggu bantuan datang. Pada sebelah malam katanya mereka telah dikeluarkan dari kem tersebut dengan melakukan 14 kali penerbangan ulang-alik. Namun, 15 orang anggotanya terpaksa bertahan untuk sedikit masa lagi apabila pihak komunis mengetahui bantuan yang disalurkan dan segala bantuan terpaksa dihentikan. 15 anggota tersebut terpaksa melarikan diri di dalam hutan dan dipercayai telah sesat selama dua hari sambil bertempur dengan pengganas beberapa kali sebelum diberi bantuan keluar daripada hutan berkenaan.

gubir

Begitulah sedikit sebanyak cerita mengenai peristiwa yang berlaku semasa ‘Operasi Gubir’ dijalankan di sempadan Malaysia-Thailand. Peristiwa tersebut memberi impak yang sangat mendalam kepada sesiapa yang menghadapinya. Semangat yang ditunjukkan menggambarkan bahawa betapa sayangnya Angkatan Tetera Malaysia (ATM) terhadap tanah airnya sehingga sanggup mengorbankan nyawa mereka sendiri.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangkedah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.