Sejarah dan Mitos Kewujudan Baling, Kedah Darul Aman

Baling ialah sebuah daerah yang terletak dalam Negeri Kedah, Malaysia. Ia bersempadan dengan daerah Kulim di sebelah selatan, daerah Kuala Muda di sebelah barat, daerah Sik di utara, Negeri Perak di sebelah tenggara dan Negara Thailand di sebelah timur laut. Ia mempunyai keluasan sebanyak 1530 kilometer persegi atau 590.32 batu persegi. Dengan keluasan tersebut Baling merupakan daerah yang kedua terbesar di Negeri Kedah.

raja

Terdapat dua teori mengenai asal usul nama Baling iaitu teori pertama adalah nama Baling dipercayai berasal daripada peristiwa Raja Bersiong seperti yang tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiung, merupakan raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa yang gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. Kelakuan baginda ini dibenci oleh rakyat dan menyebabkan baginda melarikan diri dari istananya yang berpusat di Lembah Bujang. Ketika dalam kepungan menteri dan rakyat, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi siongnya. Baginda dikatakan telah memulas keluar kedua-dua siongnya di suatu tempat dan membaling gigi siongnya jauh ke tempat yang kini dikenali sebagai Baling.

Manakala dalam cerita lain, nama Baling dikaitkan dengan orang Siam (Thai) dan orang Burma (Myanmar) yang datang ke daerah itu kira-kira 200 tahun dahulu. Mereka datang ke Baling kerana ingin memulakan penghidupan baru. Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ. Mereka begotong-royong menebang hutan dan belukar untuk memulakan penempatan baru. Mereka bercucuk tanam, berniaga dan membawa sampan penambang untuk menyara hidup. Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah. Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan. Sungai itu juga kaya dengan ikan. Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.

kera

Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil. Mereka gembira melihat sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. Akan tetapi. Kegembiraan mereka tidak kekal lama. Buah-buahan mereka seperti langsat, rambutan dan durian diserang oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. Binatang-binatang itu bebas memakan dan memusnahkan buah-buahan mereka. Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka “Ban-Lin” yang bererti “kera”. Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjadi “Baling”.

Sebenarnya teori terbabit adalah cerita lisan yang diwarisi masyarakat di beberapa daerah tertentu di Kedah. Kisah ini diceritakan turun temurun sejak dulu lagi hinggalah ke beberapa generasi terutamanya di dalam daerah Baling ini sendiri. Kesahihan cerita itu tidak dapat dikenalpasti sehingga kini.

Adioss!!

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangkedah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.